GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kuota haji jemaah Malaysia dijangka bertambah daripada jumlah yang sudah diberikan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Perkembangan positif itu dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hasil pertemuan beliau bersama rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan.

Beliau memberi jaminan, 31,600 kuota haji jemaah Malaysia bagi 1444H/2023M yang sudah dipersetujui Arab Saudi sebelum ini juga tidak akan dipotong.

"Saya menyampaikan penghargaan negara atas keutamaan dan layanan istimewa yang diberikan oleh Arab Saudi kepada Malaysia untuk urusan haji dan umrah.

"Insya-Allah kuota haji kepada Malaysia tidak akan dipotong dan kemungkinan besar akan ditambah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam pertemuan sama, beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk memuktamadkan rundingan dengan segera bagi menginstitusikan Majlis Koordinasi Malaysia-Arab Saudi (SMCC) yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala di masa hadapan.

Zambry berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempertingkat lagi jumlah dagangan dua hala, yang akhir-akhir ini sudah pun menunjukkan peningkatan drastik.

"Sebagai koordinator untuk hubungan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia menyatakan komitmen untuk membantu merealisasikan Sidang Kemuncak yang akan dihoskan oleh Arab Saudi pada tahun ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua pertubuhan serantau ini," katanya.

Katanya, pertukaran lawatan di antara Malaysia dan Arab Saudi pasca pandemik akan dipertingkat termasuk bagi mencari ruang dan peluang melalui Visi Arab Saudi 2030 yang menjadi agenda pembangunan sangat baik untuk diterokai secara bersama.

"Saya percaya pertemuan ini sudah membuka lembaran baru bagi hubungan kedua-dua negara. Arab Saudi kekal sebagai sahabat karib Malaysia dan Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk terus menerokai setiap peluang yang ada untuk membawa hubungan istimewa ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Pihak kerajaan Arab Saudi juga menyatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam waktu terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 1:43 AM