Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Dua syarikat agensi pekerjaan di negara ini dipercayai menjadi dalang merekrut individu tempatan untuk dihantar berkerja dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar susulan penahanan beberapa individu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, syarikat itu adalah agensi pekerjaan sah yang menjalankan aktiviti membawa pekerja asing ke negara dalam pelbagai sektor.

"Syarikat itu yang bertopengkan agensi pekerjaan sah menjerat mangsa di negara ini untuk dihantar bekerja dengan sindiket di luar negara.

"Mereka (syarikat) ada lesen sah merekrut warga asing bekerja di negara ini termasuk sebagai pembantu rumah dan buruh tetapi mengambil kesempatan 'mengeksport' rakyat Malaysia ke luar negara untuk kegiatan penipuan.

"Dua syarikat itu kini disiasat oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM)," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Dalam sidang media itu, Abd Jalil memaklumkan pihaknya berjaya membawa pulang lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Thailand.

Abd Jalil berkata, pihaknya menerima 267 laporan polis membabitkan seramai 339 mangsa terkandas di luar negara kerana jenayah penipuan kerja.

"Daripada jumlah itu, 218 mangsa masih terkandas di Kemboja, Myanmar, Laos Thailand dan lain-lain.

"Di Thailand, terdapat 13 laporan diterima membabitkan 26 mangsa dengan 12 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 14 lagi mangsa masih dikesan," katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai sindiket penipuan pekerjaan dikesan aktif merekrut rakyat negara ini untuk dihantar bekerja ke luar negara.

"Kita sedang cari dalang dan saya percaya sindiket ini ada di Malaysia serta Thailand dan bekerjasama antara satu sama lain.

"Kebanyakan mangsa terpedaya dengan tawaran gaji lumayan mencecah sehingga AS$2,000 (RM9,600) sebulan.

"Ia sepatutnya menjadi tanda tanya apabila syarikat di luar negara sanggup membayar individu tanpa kelulusan dan pengalaman dengan gaji tinggi.

Katanya, perkara begini perlu difikir banyak kali dan berhati-hati walaupun ia dijalankan oleh syarikat agensi pekerjaan sah.

Abd Jalil (dua kanan) bertemu lima orang mangsa yang diselamatkan selepas sidang media berikutan mangsa penipuan kerja di Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO ASYRAF HAMZAH
Abd Jalil (dua kanan) bertemu lima orang mangsa yang diselamatkan selepas sidang media berikutan mangsa penipuan kerja di Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:06 PM