Nor Fazlina Abdul Rahim

Machang: Kerajaan yakin cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini memberi impak besar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana banyak permohonan yang dibuat berhubung kategori berkenaan.

"Semalam Kabinet membuat satu keputusan dasar untuk kerajaan meminda fasal bagi membolehkan permohonan atau isu kerakyatan ditentukan melalui sedikit pindaan pada definisi.

"Menerusi pindaan berkenaan, pada asalnya hak adalah bapa dan akan dipinda kepada salah seorang sama ada bapa atau ibu. Justeru, ibu dan bapa mempunyai hak yang sama berbanding sebelum ini.

"Saya yakin menerusi pindaan ini, kita yakin ia memberi impak besar kepada komponen dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN). Permohonan dalam kategori ini memang ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Machang, di sini, hari ini.

SAIFUDDIN Nasution pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2023 sempena Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SAIFUDDIN Nasution pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2023 sempena Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, Kabinet bersetuju dengan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

Ini dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Saifuddin Nasution malam tadi.

Mereka berkata, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu membabitkan Seksyen 1(1) (d) dan Seksyen 1(1)(e) Bahagian I dalam Jadual Kedua serta Seksyen 1(b) dan Seksyen 1 (c) Bahagian Il dalam jadual sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 12:46 PM