AHMAD Amzad Hashim. FOTO arkib NSTP
AHMAD Amzad Hashim. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan Datuk Ahmad Amzad Hashim untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Kuala Terengganu yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat Ahmad Lufti Awang berkata, keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril melalui prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat mahkamah selepas mempertimbangkan hujahan-hujahan daripada kedua-dua pihak pada 30 Januari lalu dan hujahan-hujahan bertulis yang difailkan selepas itu.

Katanya, mahkamah memutuskan untuk menolak lima alasan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam responden melalui Notis Bantahan Awal bertarikh 30 Januari lalu dengan kos dalam kausa (tanpa perintah kos).

"Justeru, Petisyen Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya P.036 (Kuala Terengganu) ditetapkan untuk perbicaraan penuh selama 20 hari iaitu 3 hingga 6 April, 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 22 hingga 25 Mei, 29 hingga 31 Mei dan 1 Jun depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada prosiding secara dalam talian hari ini, Ahmad Amzad diwakili peguam, Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.

Manakala, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga pempetisyen diwakiliDatuk Mohd Hafarizam Harun , Muhammad Amin Othman, Norhazira Abu Haiyan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ahmad Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15 dengan majoriti 40,907dalam pertandingan empat penjuru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:37 PM