ANTARA pil kuda yang dirampas. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA pil kuda yang dirampas. FOTO IHSAN PDRM
Aizat Sharif

Padang Besar: Dalang penyeludupan migran antara lima ditahan termasuk tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika cuba membolosi pintu pagar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar di sini, semalam.

Dalam kejadian itu juga, polis turut merampas 160 biji pil kuda daripada seorang lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari ketika anggotanya yang sedang menjalankan tugas 'Ops Pintas' yang turut dibantu oleh anggota Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis ternampak kelibat tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun di dalam kawasan semak di bawah jejantas Jalan Kampung Kolam di sini.

"Susulan daripada tangkapan itu, pemerhatian kami selama dua jam di kawasan itu kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki dan seorangnya adalah lelaki tempatan berusia 41 tahun sedang menaiki sebuah motosikal jenis Honda RSX 150 di mana suspek dipercayai menjadi 'tekong' dalam menyeludup Pati tadi.

"Seorang lagi dipercayai pula adalah seorang warga asing berusia 39 tahun yang menaiki sebuah pikap jenis Toyota Hilux dipercayai menjadi 'transporter' kepada sindiket yang menyeludup masuk Pati berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek warga tempatan yang juga pemandu pikap ditemukan sekotak rokok dan di dalamnya mengandungi 160 biji pil warna merah tertulis WY yang disyaki dadah jenis pil kuda dengan anggaran berat sebanyak 18.27 gram.

"Hasil ujian saringan awal air kencing padanya juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran.

"Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

"Selain itu, kita juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala bagi kesalahan memiliki dadah pula, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan salah boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak lebih daripada sembilan sebatan," katanya.

"Bagi kesalahan ujian saringan air kencing positif pula, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau maksimum dua tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:14 PM