ANWAR berbincang dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Katherine Tai di pejabatnya di Putrajaya. FOTO Twitter.
ANWAR berbincang dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Katherine Tai di pejabatnya di Putrajaya. FOTO Twitter.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membincangkan mengenai langkah-langkah untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan global semasa pertemuan beliau dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Katherine Tai.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi ciapan di laman Twitter rasminya berkata, perbincangan mereka juga turut menyentuh mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi, isu-isu kemudahan perdagangan selain melaksanakan usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, lawatan Tai itu adalah lawatan kerja yang pertama kali oleh ahli Kabinet Pentadbiran Amerika Syarikat ke Malaysia sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun lalu.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala delegasi Tai turut diiringi Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. McFeeters.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 9:35 PM