Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pelajar sekolah pendidikan khas memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya terhadap sekolah, kerajaan dan dua lagi.

Pada 26 Mei 2017, plaintif berusia 25 tahun itu dan ibu angkatnya memfailkan saman terhadap pengetua, sekolah pendidikan khas, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan kerana gagal menyediakan pendidikan berkualti selaras dengan ketidakupayaannya.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili kedua-dua plaintif ketika dihubungi berkata notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan semalam.

Berdasarkan notis rayuan, mereka tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad pada 3 Feb lalu yang menolak tuntutan mereka selepas mendapati defendan tidak melanggar undang-undang kecuaian dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk pelajar keperluan khas.

Dalam pernyataan tuntutan, bekas pelajar itu yang didiagnosis sindrom kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) ketika berusia empat tahun dan mempunyai masalah kaki yang menyukarkan dia untuk duduk di lantai, mendakwa bahawa dia telah didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas itu pada 18 Jan, 2016 dan diberi penginapan di asrama sekolah.

Plaintif mendakwa dia dibuli beberapa kali oleh pelajar lain ketika berada di asrama termasuk diludah ketika dia sedang solat, diikat di katilnya, ditumbuk dan ditendang serta barang-barangnya dicuri dan walaupun banyak aduan telah dibuat namun tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah dan pengetuanya.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Julai 2017, pihak sekolah menyatakan penempatan pelajar terbabit dibuat berdasarkan pilihan anak dan ibu angkatnya semasa pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:55 PM