GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Seorang bekas pelajar kurang upaya sekolah pendidikan khas memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini, semalam, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman terhadap empat pihak termasuk sekolah berkenaan berhubung insiden dibuli rakan sekolah.

Tiga lagi pihak ialah pengetua sekolah sama, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.

Bekas pelajar itu yang memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co, mendakwa tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan dibuat Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, yang menolak tuntutannya dengan kos RM10,000 kepada responden.

Peguam bela perayu, Sangeet Kaur Deo, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan bekas pelajar terbabit selaku plaintif tidak berjaya membuktikan pihak berkenaan sebagai defendan gagal menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat di sekolah itu.

Nik Hasmat menegaskan pembelaan juga gagal membuktikan wujud kecuaian mengikut undang-undang daripada pihak defendan hingga menyebabkan plaintif dibuli.

Bekas pelajar lelaki itu, 25, memfailkan saman melalui ibu angkatnya pada 26 Mei 2017, masing-masing bertindak sebagai plaintif pertama dan kedua.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif pertama yang didiagnosis mempunyai 'Attention Deficit Hyperactive Disorder' (ADHD) sejak berusia empat tahun, turut mempunyai masalah di kaki kiri yang menyebabkannya sukar untuk duduk di atas lantai seperti pelajar lain.

Plaintif pertama didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas pada awal 2016 dan ditempatkan di asrama penuh sekolah terbabit.

Sebelum itu, dia seorang pelajar di sekolah menengah biasa dan tahap pendidikannya hanya di tahap tadika.

Di sekolah baharu, plaintif pertama didakwa dimasukkan ke dalam kelas mengikut budi bicara sekolah, pengetua dan kementerian tanpa pemeriksaan sesuai, saringan khusus dan tanpa sebarang langkah mengenal pasti secara secara spesifik masalah pembelajarannya.

Sekolah itu dikatakan tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap pelajar mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran, sebaliknya semua pelajar autisme dilabelkan secara am iaitu mempunyai masalah pembelajaran.

Plaintif memaklumkan defendan tidak menyediakan sistem pelajaran yang sesuai dan spesifik kepada masalah pembelajaran kanak-kanak istimewa, selain tidak melaksanakan sistem pendidikan khas yang berstruktur.

Menurut plaintif, pada jam 10 malam, 17 Mei 2016, seorang pelajar istimewa datang ke bilik asrama plaintif pertama dan mengikat kakinya di katil dan seterusnya menumbuknya di bahu kiri.

Ibu angkatnya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas diberitahu plaintif pertama walaupun warden tahu mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian lain, plaintif mendakwa, plaintif pertama turut diludah di kepala oleh pelajar lain ketika bersolat di surau asrama dan ditendang serta ditumbuk dari belakang.

Barang keperluan plaintif pertama seperti baju sukan turut dicuri, bagaimanapun pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan.

Dakwa plaintif lagi, plaintif pertama berkali-kali diganggu dan didera secara mental oleh pelajar lain, selain dipanggil dengan kata-kata kesat, yang diketahui pihak sekolah dan pengetua tetapi tiada tindakan diambil walaupun aduan sudah dibuat.

Sehubungan itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 12:14 PM