GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Alor Setar: Perkataan 'babi' yang terkeluar dari mulut seorang lelaki terhadap pekerjanya dipercayai menjadi punca suspek hilang sabar dan menyerang mangsa dengan menumbuk serta memukul menggunakan kayu bendera hingga meninggal dunia di sebuah restoran di Jalan Stadium, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini suspek yang berusia 55 tahun itu sudah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau dan ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

"Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa dan setakat ini seramai lima saksi sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit," katanya.

Dalam kejadian jam 5.15 petang kelmarin, warga emas berusia 68 tahun rebah selepas ditumbuk dan dipukul menggunakan kayu bendera oleh suspek.

Kejadian berlaku ketika suspek yang juga pembantu tukang masak bersama isteri serta anak perempuannya bekerja di restoran terbabit sebelum berlaku perselisihan faham di belakang premis. Hasil siasatan awal mendapati perselisihan faham berlaku antara anak mangsa dengan isteri suspek yang berang kerana anak pemilik restoran berkenaan menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang sudah dicuci.

Ketika itu, mangsa keluar dari restoran dan terus memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa.

Mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek membuatkan pekerjanya itu hilang sabar dan menyerang menggunakan sebatang kayu bendera serta menumbuk mukanya sebelum pergaduhan itu dileraikan.

Mangsa ketika itu rebah dan dia yang mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan sakit tulang belakang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Difahamkan, suspek bekerja di restoran berkenaan sejak Disember 2022 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:22 PM