GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Suri rumah kerugian RM53,875 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa, 41, dari Kuantan menerima tawaran itu melalui WhatsApp, 29 Januari lalu.

Katanya, mangsa hanya perlu `Like dan Subscribe YouTube' dengan dijanjikan menerima komisyen sebanyak 30 peratus setiap kali tugasan dilakukan.

"Mangsa membuat tugasan pertama dengan pembayaran berjumlah RM300 dan menerima pulangan sebanyak RM390 termasuk komisyen 30 peratus ke akaun banknya.

"Akibat percaya mendapat keuntungan yang banyak, mangsa membuat 10 transaksi berjumlah RM53,875 kepada empat akaun yang berbeza.

"Akibatnya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM53,875 iaitu wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada ahli keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:40 PM