EBIT Lew. FOTO Bernama
EBIT Lew. FOTO Bernama
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Kes perbicaraan gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew akan bersambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula 7 sehingga 10 Februari ini.

Prosiding bagi meneruskan perbicaraan yang ditangguhkan sebelum ini selepas berlangsung selama tiga hari pada 20 hingga 22 Disember lalu.

Pihak pendakwaan setakat ini sudah menampilkan lima saksi termasuklah pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam prosiding sebelum ini.

Terdahulu, Ebit pada 18 Februari tahun lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.

Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:31 PM