Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Konsep berkebajikan yang dilaksanakan Pas sejak sekian lama bukan saja mengikut petunjuk al-Quran dan Sunnah dengan makna yang luas.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sebaliknya parti itu melaksanakan konsep berkebajikan itu secara berterusan tanpa mengira musim pilihan raya atau sebaliknya.

Menyelar kritikan segelintir pihak membabitkan kenyataannya sebelum ini berhubung isu sedekah ketika kempen pilihan raya terhadap pengundi, beliau berkata, bersedekah itu hanya satu daripada konsep berkebajikan yang diamalkan Pas.

Beliau yang berkongsi potongan surah al-Baqarah, berkata kebajikan bukan sahaja merangkumi aspek berkhidmat kepada masyarakat, dan hanya bersedekah wang dan barangan sahaja.

"Kepada mereka yang banyak cakapnya berkenaan perkataan sedekah, diharapkan terlebih dahulu memahami konsep sedekah dalam Islam yang dibawa oleh Pas," katanya dalam Minda Presiden Pas bertarikh hari ini.

Abdul Hadi berkata, sedekah mempunyai maksud yang luas, tidak terhenti kepada bersifat harta dan barangan, malah termasuk sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.

Beliau berkata, perkara itu sememangnya dihayati oleh ahli Pas dalam semua lapangan sejak peringkat awal sebelum dan selepas penubuhan parti itu lagi.

Katanya, pembabitan ahli Pas bukan hanya dalam politik dan ketika musim pilihan raya, bukan secara terpilih atau bermusim.

Abdul Hadi berkata, sejak awal pagi , ulama Pas, sesetengahnya memiliki taraf ilmu sebanding mufti, pensyarah di institusi pengajian tinggi dan pegawai agama, sudah berkhidmat menyebarkan ilmu kepada masyarakat secara percuma, membuka pondok dan sekolah rakyat, serta mengajar di masjid dan surau.

Malah, katanya, ada juga daripada kalangan profesional yang berpendidikan Barat, tetap mempertahankan identiti Islam mereka dan juga kalangan yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, namun tidak meninggalkan khidmat percuma kepada masyarakat, biarpun mereka terbeban dengan hutang demi menyampaikan perkhidmatan berkenaan.

"Hutang-hutang itu hanya dapat dijelaskan selepas mereka bersara dan tidak menjadi wakil rakyat lagi.

"Itu adalah bukti khidmat wakil rakyat Pas sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata.

"Kini, selepas ramainya ahli Pas daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik dalam lapangan yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata, khidmat bantuan itu juga diperluaskan melalui penubuhan lujnah-lujnah khusus dan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung bawah Pas serta ia tidak dikekang dengan sekatan undang-undang dan politik yang dicipta.

Katanya, khidmat yang ditawarkan ahli Pas itu juga turut disalurkan ke luar negara apabila berlaku pelbagai bencana alam dan mangsa peperangan.

Berikutan itu, Abdul Hadi berkata, tuduhan yang mengatakan Pas merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil bagi menghadapi orang yang bersedekah, berbanding bantuan yang diberikan secara bermusim atau bertujuan untuk mencapai matlamat politik semata-mata.

"Banyak parti yang pernah bekerjasama atau yang sedang bekerjasama dengan Pas menyaksikan betapa hebatnya pengorbanan jentera Pas yang tidak bermusim dan bertempat tanpa meminta upah daripada manusia.

"Inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat. Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia," katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mendapat kecaman ramai pihak apabila beliau menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:23 PM