ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pemotongan peruntukan untuk Ahli Parlimen wajar dikaji semula dengan mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai Ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri, beliau memahami langkah penjimatan kewangan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memotong peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu agak mengejutkan terutamanya bagi kawasan pedalaman seperti Parlimen Kapit yang diwakilinya dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai keluasan negeri Pahang.

"Sudah tentu peruntukan itu tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepada saya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

"Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan itu," katanya.

Nanta berkata, peruntukan sebelum ini banyak membantu Ahli Parlimen untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan kerajaan.

"Peruntukan itu yang disalurkan ke Pusat Khidmat juga menjadi 'one-stop centre' bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.

"Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan itu juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar," katanya.

Menurutnya lagi, peruntukan itu bukan sahaja keperluan untuk golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi juga bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat.

Sehubungan itu katanya, pengurangan kadar peruntukan ini tentu akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat.

"Justeru,kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan itu dan saya walaupun merasa sedikit terkilan, namun terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkanoleh kerajaan dari masa ke semasa.

"Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:02 PM