Aizat Sharif

Padang Besar: Setelah hasratnya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima pelbagai reaksi parti berkenaan, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin membuat 'pusingan-U' dengan berkemungkinan menyertai sebuah lagi parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Padang Besar dari 2013 hingga 2022 yang dipecat daripada Umno selepas bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu tidak menolak kemungkinan Amanah adalah destinasi politik beliau selepas ini.

"Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak kira parti komponen mana, malah kita sedang berbincang dengan PKR atau Amanah.

"Apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai Amanah disebabkan perhatian boleh diberikan di kawasan ini terutamanya berkaitan pertanian kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan adalah Presiden Amanah.

"Kita tengah tunggu idea daripada akar umbi sebelum disampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan Amanah, malah hari ini seramai 150 orang hadir untuk menyertai PH sama ada PKR atau Amanah.

"Namun, saya lebih condong penyertaan kepada Amanah malah (pemangku) Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini," katanya.

ZAHIDI (kiri) sedang membincangkan sesuatu dengan Mat Safar (kanan). FOTO Aizat Sharif.
ZAHIDI (kiri) sedang membincangkan sesuatu dengan Mat Safar (kanan). FOTO Aizat Sharif.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Perlis merangkap Pemangku Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar, Mat Safar Saad.

Katanya, sekiranya penyertaannya ke dalam Amanah diluluskan maka sokongan terhadap PH terutama Amanah di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka seramai 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat selepas ini.

"Apa pun, ingin saya jelaskan saya tidak minat pada sebarang jawatan pun, penyertaan saya di sini semata-mata adalah untuk membantu pemimpin setempat dalam menguatkan lagi PH di Padang Besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 9:08 PM