Muhammad Fikri (berdiri kiri) yang maut dalam nahas di selekoh Kilang Kelapa Sawit Tai San, dekat sini, semalam. FOTO Ihsan FB Masjid As-Saadah.
Muhammad Fikri (berdiri kiri) yang maut dalam nahas di selekoh Kilang Kelapa Sawit Tai San, dekat sini, semalam. FOTO Ihsan FB Masjid As-Saadah.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: "Saya terkejut dan terkilan kerana ini kali kedua saya kehilangan anak disebabkan kemalangan.

"Anak ketiga saya turut meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2017," kata Nur Hidayu Kamarudin Alang Jidin, 56.

Wanita itu adalah ibu kepada Muhammad Fikri Nurazman Amrullah, 20, yang maut dipercayai terbabas sebelum terlanggar tiang elektrik ketika menunggang motosikal seorang diri di selekoh Kilang Kelapa Sawit Tai San, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian, penuntut tahun dua Diploma Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Seri Manjung, itu dalam perjalanan pulang ke rumah bertemu keluarga di Kampung Bahagia, Teluk Intan.

Nur Hidayu berkata, anak bongsu dari empat beradik itu ingin pulang bagi bertemu ahli keluarganya yang bakal menunaikan umrah Rabu ini.

Katanya, arwah enggan turut serta kerana tarikh peperiksaannya semakin hampir.

"Saya menerima berita kematian arwah daripada saudara selepas Maghrib.

"Ibu saudara arwah dapat tahu melalui kumpulan 'WhatsApp', dan memaklumkan kepada kami.

"Hujung minggu yang lalu arwah ada pulang untuk melawat saya, ketika itu saya kurang sihat kerana baru sahaja menjalani pembedahan membuang kanser usus," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Teluk Intan, hari ini.

Bapa kepada Muhammad Fikri, Nurazman Amrullah, 56, tidak menyangka panggilan telefon bersama anaknya menjadi perbualan terakhir mereka.

"Hujung minggu lalu, arwah beritahu dia tak dapat pulang minggu ini kerana mahu siapkan projek tugasannya.

"Tapi tengah hari semalam, sewaktu kami berbual di telefon, dia beritahu ingin mahu pulang memandangkan tugasannya sudah selesai.

"Ketika itu, saya perasan suaranya sedikit lemah, dia seorang yang periang. Tapi saya tidaklah menganggap itu tanda dia akan pergi selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.

"Mangsa terbabas sendiri dan terlanggar tiang elektrik tepi jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Jenazah Muhammad Fikri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia, dekat sini selepas Zuhur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:35 PM