GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banjir di Kedah dan Sarawak semakin pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu, ditutup sepenuhnya pada 2 petang hari ini.

Di KEDAH, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata keadaan cuaca cerah hari ini, telah membantu air untuk surut dengan cepat dan membolehkan kesemua 35 mangsa banjir daripada 11 keluarga di Mukim Relau di PPS Sekolah Kebangsaan Relau, kembali ke rumah masing-masing.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kedua-dua PPS di Sekolah Kebangsaan St Peter serta Dewan Kampung Mundai yang terletak di Serian, ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi.

Di SABAH sekretariat JPBN memaklumkan hanya satu PPS yang masih dibuka setakat 2 petang ini iaitu di daerah Beaufort, yang menempatkan 224 orang daripada 63 keluarga.

Di PULAU PINANG mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di dua daerah di negeri yang terbaharu dilanda banjir kekal 59 orang sama seperti pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Phee Boon Poh berkata, cuaca hari ini hingga 1 tengah hari, cerah namun mangsa belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing kerana rumah mereka belum siap dibersihkan.

"PPS di Dewan Komuniti Kubang Menerong di daerah Seberang Perai Utara (SPU), masih menempatkan seramai 38 orang daripada sembilan keluarga, manakala di Seberang Perai Selatan (SPS) pula PPS di Sekolah Kebangsaan Bakap Indah membabitkan 21 orang mangsa banjir daripada lapan keluarga.

"Ketika ini kebanyakan mangsa banjir sedang mencuci rumah mereka dan pihak kami juga sedang memantau cuaca dari semasa ke semasa. Jika petang ini tidak hujan mereka akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa di PPS menurun sedikit kepada 819 orang setakat 4 petang ini berbanding 821 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

JPBN Johor memaklumkan jumlah mangsa di daerah Batu Pahat yang mengalami banjir termenung seramai 793 orang daripada 224 keluarga, masih ditempatkan di lima PPS.

Sementara itu di Segamat, seramai 26 orang daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu PPS, menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, petang ini.

JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di sembilan daerah dijangka hujan petang ini kecuali Muar yang dijangka cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:59 PM