ZAINOL (dua, kiri) melawat ke ruang pameran selepas  menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Melaka Tengah Dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Melaka Tengah. FOTO Bernama.
ZAINOL (dua, kiri) melawat ke ruang pameran selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Melaka Tengah Dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Melaka Tengah. FOTO Bernama.
BERNAMA

Melaka: Bilangan orang kena pengawasan (OKP) di Melaka merekodkan 2,032 individu sehingga Disember tahun lalu, meningkat 11.46 peratus berbanding 1,823 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu membabitkan individu aktif yang dikenakan perintah pengawasan meliputi 932 orang di daerah Melaka Tengah, 654 orang di Alor Gajah dan 446 orang di Jasin.

"Kita dapati saban tahun juga terdapat penagih baharu terutamanya dalam kalangan remaja bersekolah dan lepasan sekolah selain penuntut di institusi pengajian tinggi yang turut terjebak.

"Dadah musuh nombor satu negara yang perlu ditangani segera kerana ia boleh merosakkan masa depan generasi muda sekali gus melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Sentuhan Kasih Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Melaka Tengah dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Melaka Tengah di Balai Raya Baruh Alai, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) negeri Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Mengulas lanjut Zainol berkata, program Sentuhan Kasih JKPD dan seumpamanya juga dilihat sebagai satu inisiatif bagi mengingatkan semua pihak akan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara ini bebas daripada ancaman dadah.

Sementara itu Akramuddin berkata, JKPD berhasrat meluaskan program membantu OKP menjalani kursus kemahiran jangka pendek secara percuma bagi membantu golongan itu mampu menjana pendapatan sendiri menyara kehidupan.

Katanya usaha itu bagi memberi peluang kepada golongan OKP berubah dan membina hidup baharu selepas terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan keluar daripada belenggu penagihan.

"Justeru kita berharap mereka mengambil peluang ini untuk menyertai kursus asas seperti gunting rambut bagi lelaki dan kulinari untuk perempuan bagi memberi mereka kemahiran menambah pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:48 PM