GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Omar Ahmad


Johor Bahru : Mahu mencuba, pengaruh rakan, kononnya hilangkan tekanan atau tekanan menjadi antara faktor pelajar di negara ini terjebak menghisap rokok elektronik atau vape.

Malah, ada pelajar yang bertindak lebih berani dengan membawa peranti itu untuk dihisap di kawasan sekolah akibat ketagihan.

Pengarah Program Jelajah Bahaya Vape (JBV), Norleyana Yahya berkata, kepelbagaian bentuk dan warna juga mempengaruhi pelajar untuk mencuba vape yang ternyata berbahaya kerana mengandungi cecair nikotin.

"Ada satu kes ini di sekolah di negeri ini, pelajar membawa vape dan hisap dalam kelas ketika ketiadaan guru. Ada yang menyorokkan vape dalam tandas sekolah.

"Situasi ini menggambarkan mereka ketagihan untuk menghisap vape dan berani membawa peranti itu ke kawasan larangan.

"Menerusi JBV ini kita berikan penerangan bahaya vape, kesan buruk jangka panjang kepada remaja, selain mengingatkan mereka vape bukan alternatif kepada rokok," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran JBV di sini, hari ini.

JBV dianjurkan oleh Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yang memberi penerangan lanjut dari sudut kesan vape terhadap kesihatan.

Sementara itu, Penceramah dari I-Medik, Profesor Madya Dr Madihah Rushaidhi berkata, ramai pelajar yang beranggapan vape hanyalah cecair wap biasa yang berperisa seperti gula-gula.

Katanya tanggapan itu sangat tidak betul, kerana kebanyakan cecair berperisa vape ini mempunyai nikotin yang menyebabkan ketagihan.

"Bahaya kandungan nikotin ini menjadi lebih kepada ketagihan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus dan seterusnya menyumbang masalah gejala sosial yang lain.

"Cecair vape yang mengandungi nikotin merembeskan bahan kimia dalam dopamin akan memberikan satu perasaan gembira. Dopamin melatih otak agar mengulangi tingkah laku pengambilan sehingga akhirnya menimbulkan kebergantungan dan ketagihan," katanya.

Dr Madihah berkata, statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2019 mendapati kira-kira 300,000 pelajar terjebak dengan penggunaan vape, yang mana dari jumlah itu 50,000 adalah pelajar perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:22 PM