NADZIM berbincang dengan penarik kereta berkaitan dengan masalah kereta seorang ahli persatuan itu yang ditarik di sekitar di ibu negara. FOTO PPIM
NADZIM berbincang dengan penarik kereta berkaitan dengan masalah kereta seorang ahli persatuan itu yang ditarik di sekitar di ibu negara. FOTO PPIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa institusi kewangan untuk menggunakan budi bicara dalam isu tarik kereta khususnya yang mempunyai baki pinjaman dalam jumlah kecil.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes tarik kereta biarpun pembiayaan sudah pun dilunaskan lebih 70 peratus.

Katanya, lebih malang lagi, ada kes yang nilai pembiayaan hanya berbaki RM500, namun pemilik kenderaan berdepan tindakan tarik kereta.

"Isu ini memang tidak boleh kita tolak ansur. Orang sudah bayar dalam jumlah yang banyak tetapi kereta berisiko ditarik.

"Dalam kes yang kita terima, ada yang berbaki hanya RM10,000. Kalau ditarik, masalah juga kepada pemilik kerana perlu cari kereta lain untuk urusan seharian.

"Ini mungkin isu kecil kepada sebahagian orang tetapi bagi yang cukup-cukup makan saja, memang akan memberi kesan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Justeru, beliau meminta kementerian berkaitan untuk meneliti prosedur operasi standard sedia ada dalam mewujudkan situasi yang lebih memihak kepada pengguna yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Dalam kes semalam, seorang ahli persatuan itu berdepan detik cemas apabila didatangi penarik kereta di satu lokasi di ibu negara.

Dia yang panik kemudiannya menghubungi PPIM untuk meminta bantuan.

Isu berkenaan selesai selepas aktivis PPIM tiba di tempat kejadian dan berbincang dengan penarik kereta terbabit yang memberikan alasan hanya mengikut arahan institusi kewangan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berbincang dengan penarik kereta berhubung seorang ahli persatuan itu yang ditarik kereta di sekitar di ibu negara, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:05 PM