ALLAHYARHAM Datuk Aishah Ahmad Badjunaid. FOTO Ihsan Istana Negara
ALLAHYARHAM Datuk Aishah Ahmad Badjunaid. FOTO Ihsan Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh industri automotif negara dan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad Badjunaid, yang meninggal dunia Khamis lalu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

"Seri Paduka Baginda berdua menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah kepada negara dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada industri automotif negara," menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Aishah, 71, meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi.

Allahyarham ialah tokoh yang sangat dihormati dalam industri automotif tempatan dan juga di rantau ASEAN dan memegang jawatan Presiden MAA sejak 1991 yang ketika itu dikenali sebagai Persatuan Peniaga Motor Malaysia atau MMTA.

Aishah yang menerajui pertumbuhan MAA dan menjadikannya persatuan industri automotif terkemuka di Malaysia, juga adalah Pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998.

Beliau memulakan kerjayanya pada pertengahan 1970-an dengan Kumpulan Inchcape di Malaysia, kemudian menyertai Ford Malaysia, Tractors Malaysia dan akhirnya bersara pada 2021 apabila berkhidmat dengan Sime Darby Motors Division Sdn Bhd.

Walaupun bersara, beliau terus berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi Kumpulan Sime Darby.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:09 PM