Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Hampir dua bulan banjir berlalu, Misi Bantuan Pasca Banjir Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) tetap diteruskan di beberapa kawasan di sekitar daerah ini.

Seramai 168 pelajar diploma dan ijazah sarjana muda bersama empat pensyarah turun padang membersihkan dan mengecat kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkawang dan SK Kuala Ping.

Selain mengecat kawasan sekolah yang terjejas akibat banjir Disember lalu, rombongan berkenaan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 100 pelajar terpilih.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras UIS Sohana Abdul Hamid berkata, misi pasca banjir yang diadakan hari ini adalah sebahagian program bagi subjek wajib iaitu Latihan Bina Ihsan (penuntut diploma) dan Khidmat Ummah (penuntut ijazah sarjana muda).

Beliau berkata, subjek itu bertujuan mengasah pelajar dengan kemahiran insaniah dari segi kerja secara berpasukan dan komunikasi dengan masyarakat luar.

"Selain untuk pengisian subjek itu sendiri, program ini dapat mendekatkan pelajar dengan masyarakat setempat serta menjadi antara sebahagian program tanggungjawab sosial (CSR) kami," katanya.

Terdahulu, perasmian misi bantuan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong Datuk Rozi Mamat.

Rozi berkata, pihaknya berterima kasih dan menyambut baik kedatangan pihak UIS yang memilih kawasan sekitar Kampung Tengkawang, Kampung Tok Lawit, Kampung Kuala Ping dan Kampung Padang Setebu untuk melakukan program khidmat masyarakat.

ROZI Mamat (tengah) semasa merasmikan misi bantuan pasca banjir Pantai Timur Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) di Sekolah Kebangsaan Tengkawang. FOTO Ghazali Kori
ROZI Mamat (tengah) semasa merasmikan misi bantuan pasca banjir Pantai Timur Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) di Sekolah Kebangsaan Tengkawang. FOTO Ghazali Kori

"Walaupun banjir sudah lama berlalu namun sokongan seumpama ini sedikit sebanyak dapat melegakan hati mereka yang terjejas akibat banjir besar yang berlalu di Hulu Terengganu baru-baru ini.

"Kesan akibat banjir ini panjang sebenarnya dan hari ini mereka dapat lihat bagaimana masyarakat di sini menjalani kehidupan selepas banjir," katanya.

Pengarah program Haziq Noraiman Borhan yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Muamalat berkata, semua dana dikumpul sendiri semua pelajar selain terdapat sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, kami berjaya mengumpulkan hampir RM40,000 dan ia digunakan untuk membeli barangan untuk mengecat sekolah serta barangan keperluan harian untuk murid di SK Tengkawang dan SK Kuala Ping serta bantuan pek makanan dan wang kepada penduduk Kampung Tok Lawit

"Kami harap program ini dapat membantu meringankan beban mereka yang terkesan, ia bukan semata-mata untuk subjek kami tetapi ini adalah khidmat sosial kami kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:08 PM