LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Petaling Jaya: Pesakit kanser dinding rahim tahap empat Wan Marziah Mohd Rejab meninggal dunia di rumah keluarganya di sini, semalam.

Berita pemergian Wan Marziah, 41, yang mesra disapa Kak Long itu dikongsi sahabat baiknya, Siti Khodijah Mohd Rashid, 31.

Siti Khodijah berkata, Wan Marziah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi di sisi ahli keluarga dan dia turut ada bersama di saat akhir sahabatnya itu.

Menurutnya, pemergian arwah sangat dirasainya dan ahli keluarga wanita itu, namun dia bersyukur dapat menjaga sahabat baiknya itu ketika sakit.

"Arwah seorang yang sangat baik serta selalu beri semangat dan bantu saya ketika dia sihat, tetapi saya tidak anggap usaha saya menjaganya untuk membalas kebaikannya kerana bagi saya sebagai manusia kita harus berbuat baik.

"Apa yang kita lakukan di dunia (yang baik) akan menjadi saham di akhirat kelak dan berharap dapat berkumpul bersama Kak Long di syurga nanti, "katanya ikhlas membantu menjaga sahabatnya itu sebelum ini.

Katanya, Wan Marziah sempat meninggalkan pesan terakhir kepadanya supaya selalu bersabar dan berfikir dulu sebelum membuat apa-apa.

"Arwah juga sempat beritahu dia sayangkan saya dan banyak membantunya serta kami bersama saat susah serta senang.

"Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sa'adah (TPIRS) Kampung Johan Setia, semalam," katanya.

Sebelum ini kisah persahabatan dua sahabat baik itu yang sangat erat hingga berkorban masa dan saling menjaga antara satu sama lain meskipun tiada pertalian darah pernah disiarkan Harian Metro

Wan Marziah dan Siti Khodijah masing-masing mempunyai cerita sendiri apabila Wan Marziah diuji dengan kanser dinding rahim tahap empat pada Januari tahun lalu.

Manakala, Siti Khodijah atau mesra disapa Kay pula dikesan menghidap major depressive disorder dan panic disorder pada Mei tahun lalu.

Malah, kisah mereka juga mendapat perhatian di aplikasi TikTok selepas memuat naik video aktiviti harian dan perkembangan kesihatan Wan Marziah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:47 PM