Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Ubah suai untuk kegunaan perjalanan ke tempat kerja, itu antara alasan yang diberi pemilik bengkel dan mekanik motosikal ketika pemeriksaan menerusi Op Bengkel, di Jalan Gurdwara, di sini, hari ini.

Namun, ia tidak diterima penguatkuasa yang melakukan pemeriksaan sepanjang operasi khas berkenaan.

Malah didapati sebanyak 14 motosikal yang didaftarkan atas nama pemilik bengkel itu sudah diubah suai dipercayai bagi kegunaan joki dalam perlumbaan haram.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Adenan Md Isa berkata berdasarkan fizikal, motosikal yang diperiksa itu memang diluluskan dan dibenarkan penggunaannya di jalan raya.

"Kita tidak pasti kegunaan motosikal yang diubah suai itu tetapi ia memang bagi kegiatan lumba haram.

"Apabila kita tanya pemilik, dia mendakwa ia hanya dipamerkan di bengkelnya dan itu adalah alasan biasa yang diberi ketika pemeriksaan.

"Kemungkinan ia adalah bagi promosi atau pameran yang membawa kepada tujuan perlumbaan haram," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan anggota polis trafik menunjukkan motosikal yang diubah suai di sebuah bengkel motosikal dalam Ops Bengkel di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan anggota polis trafik menunjukkan motosikal yang diubah suai di sebuah bengkel motosikal dalam Ops Bengkel di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Premis berkenaan adalah antara 12 bengkel yang diperiksa di seluruh daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam operasi itu.

Adenan berkata, sebanyak tujuh daripadanya didapati tidak beroperasi manakala lima lagi premis yang beroperasi didapati menjalankan kegiatan ubah suai.

"Keseluruhannya kita juga mengesan lebih 30 kesalahan yang dilakukan pemilik bengkel bagi kerja mengubahsuai motosikal dan kebanyakannya diguna bagi tujuan perlumbaan.

"Antara barangan laris yang diubahsuai ialah lengan ayun, gegancu, ekzos, penggunaan tayar sotong, piston dan sepit udang dan tukar alat pengawal kelajuan," katanya.

Operasi berkenaan membabitkan 120 anggota termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menurut Adenan, pihaknya turut memberi peluang kepada pemilik motosikal bagi mengubah semula motosikal mereka ke bentuk asal dalam tempoh 10 hari.

"Keseluruhannya kita mengeluarkan sebanyak 66 notis dan setiap satunya mempunyai kesalahan lebih daripada tiga.

"Kita akan terus lakukan pemeriksaan termasuk datang semula ke bengkel yang sudah diperiksa dalam usaha bagi mengekang aktiviti rempit dan lumba haram," katanya.

Kesalahan diambil tindakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 59 akta yang sama dan Kaedah 138 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 5:28 PM