SUMBANGAN bot yang diterima di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUMBANGAN bot yang diterima di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit, dengan seramai 926 mangsa berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Segamat dan Batu Pahat, setakat jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan sedikit berbanding pada jam 2 petang tadi seramai 931 mangsa ditempatkan di PPS seluruh negeri.

Katanya sebuah PPS di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Kuala Paya, yang menempatkan lima mangsa banjir daripada sebuah keluarga sudah ditutup pada jam 12.30 tengahari tadi.

"Batu Pahat kekal daerah terjejas paling teruk dengan seramai 873 mangsa daripada 247 buah keluarga yang ditempatkan di enam buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

"Di Segamat, mangsa banjir yang tinggal hanya 48 orang daripada 15 keluarga di tiga PPS. Dua PPS di Segamat juga mencatatkan penurunan mangsa banjir," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga meramalkan tiada laporan hujan lebat berterusan berlaku di negeri ini.

Katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh.

"Manakala di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya sebuah sungai yang menunjukkan paras air pada tahap bahaya iaitu Sungai Bekok di Batu Pahat, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:39 PM