KEADAAN banjir termenung di Jalan Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KEADAAN banjir termenung di Jalan Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua lagi daerah di Sabah terjejas dengan banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal petang tadi, sekali gus menyebabkan jumlah mangsa dipindah di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu sedikit meningkat manakala keadaan banjir di Johor bertambah pulih.

Di SABAH, Daerah Beaufort dan Beluran menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu dengan 690 mangsa daripada 204 keluarga dipindahkan ke 14 PPS berbanding 627 orang daripada 188 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan ia menjadikan setakat ini lima daerah terkesan dengan Telupid paling teruk terjejas membabitkan sebanyak 453 orang daripada 129 keluarga dipindahkan ke lapan PPS, diikuti Paitan sebanyak 122 orang (44 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 45 orang (12 keluarga) di satu PPS.

"Sementara itu di Beaufort, seramai 64 orang (18 keluarga) dan Beluran enam orang (satu keluarga), masing-masing dipindahkan di sebuah PPS," menurut kenyataan itu.

Jabatan Kerja Raya Sabah memaklumkan Jalan SRK Batu 60 dan Jalan Suasa ditutup untuk semua kenderaan akibat dinaiki air dan tiada jalan alternatif untuk pengguna jalan raya buat masa ini.

Sementara itu, beberapa kawasan di pantai barat Sabah antaranya di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran turut dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan pada awal petang ini.

Tinjauan Bernama mendapati antara kawasan di Kota Kinabalu dilanda banjir kilat ialah Bundusan, Kolombong, Kepayan, Lido, Sepanggar dan Inanam; Penampang (Penampang Lama, Taman Delima dan Taman Penampang); dan Tuaran (Telipok dan Gayang).

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir pada 4.40 petang tadi membabitkan pantai barat Sabah, Sandakan, Telupid dan daerah di kawasan pedalaman termasuk Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 976 orang setakat 8 malam ini berbanding 1,106 orang, petang tadi.

Menurut JPBN, dua PPS telah ditutup petang tadi iaitu Sekolah Kebangsaan Mawai di Kota Tinggi dan Sekolah Agama Sri Bertam di Batu Pahat manakala 10 PPS yang menempatkan 272 keluarga masih beroperasi di tiga daerah terjejas.

"Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 872 orang, diikuti Kota Tinggi (41) dan Segamat (63)," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.72 meter dan menunjukkan trend peningkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 10:26 PM