Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 1,935 orang setakat malam ini, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Di SABAH, JPBN negeri itu dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini di 12 PPS yang masih beroperasi di tiga daerah turun mendadak kepada 556 mangsa daripada 165 keluarga berbanding 1,641 orang daripada 594 keluarga petang tadi.

Menurut JPBN jumlah mangsa banjir di daerah Telupid yang masih berada di lapan PPS di daerah itu ialah 400 orang daripada 113 keluarga, di Paitan 111 orang daripada 40 keluarga di tiga PPS manakala di Lahad Datu seramai 45 orang daripada 12 keluarga di sebuah PPS.

Sementara itu, semua mangsa banjir di daerah Pitas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan PPS di Dewan Kampung Kusilad serta Sekolah Kebangsaan Pekan 2 telah ditutup.

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 1,379 mangsa setakat 8 malam ini berbanding 1,525 mangsa yang direkodkan pada 4 petang tadi.

JPBN berkata 17 buah PPS masih beroperasi di daerah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 919 mangsa, diikuti Kota Tinggi (223), Mersing (147) dan Segamat (90), menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 11:37 PM