Laporan terdahulu.
Laporan terdahulu.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Bedah siasat pemuda bermasalah mental yang maut dipukul di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, di sini kelmarin mendapati punca kematian kerana pendarahan dalam paru-paru akibat tekanan pada dada.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain itu terdapat juga kesan calar, lebam serta luka di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Katanya, proses bedah siasat itu dijalankan di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini sebelum mayat diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa berusia 20-an itu mengamuk dan menyerang wanita berusia 57 tahun di perkarangan masjid, sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan kematiannya.

Susulan itu, seorang pengawal keselamatan direman selama tujuh hari hingga 5 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 9:52 PM