Cendawan tiram putih yang sudah matang dipetik untuk dijual yang diusahakan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan di pejabat MACMA di Taman Maju hari ini.
Cendawan tiram putih yang sudah matang dipetik untuk dijual yang diusahakan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan di pejabat MACMA di Taman Maju hari ini.
BERNAMA

Kota Bharu: Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Kelantan menjadi pusat mualaf pertama di negara ini yang menjana pendapatan dengan mengusahakan cendawan tiram putih sejak Oktober tahun lalu.

Pengerusi Macma Kelantan Dr Johari Yap Abdullah berkata pihaknya memiliki dua unit rumah cendawan pintar menggunakan sistem Imistroom dengan kapasiti maksimum 10,000 bongkah yang mampu mengeluarkan hasil sebanyak 3,000 kilogram (kg) satu musim.

Katanya, setiap satu rumah cendawan pintar menggunakan teknologi Internet Benda (IoT) itu didirikan dengan kos sebanyak RM30,000.

"Aktiviti jualan dan pemasaran cendawan diuruskan oleh Koperasi Macma Kelantan Berhad dan keuntungan jualan juga akan dinikmati anggota koperasi yang juga ahli Macma Kelantan," katanya ketika ditemui.

Bercerita lanjut, beliau berkata projek penanaman cendawan tiram putih ini sangat mudah dan diuruskan dengan konsep 2T iaitu tinggal dan tuai sahaja.

"Seramai 15 ahli jawatankuasa dan ahli terbabit secara langsung dalam projek ini.

"Mereka diberi latihan cara-cara menguruskan penanaman cendawan, selain mendapat upah daripada kerja-kerja berkaitan seperti memetik, membungkus, menghantar ke kedai serta membersihkan kipas rumah cendawan," katanya.

Menurut beliau, cendawan tiram putih yang diusahakan Macma Kelantan dijual pada harga RM16 sekilogram.

"Selain dijual kepada peruncit, ahli-ahli Macma Kelantan turut menghasilkan produk hiliran seperti cendawan tiram putih goreng, serondeng dan pekasam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:01 AM