Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Lima individu ditahan selepas dipercayai menyerang dan mengugut seorang lelaki yang disangka cuba menjalin hubungan dengan kekasih seorang daripada mereka.

Mereka yang ditahan kelmarin, direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada 9.30 pagi 23 Januari lalu, mangsa berusia 24 tahun didatangi seorang lelaki dan empat individu di rumahnya di Kampung Tasik Permai di sini.

"Mangsa mendakwa diserang dan dipukul selain turut diugut, sebelum membuat laporan di Balai Polis Ampang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah melakukan tangkapan ke atas lima suspek di sekitar daerah ini kelmarin.

"Semakan mendapati suspek pertama hingga ketiga mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek keempat dan kelima tiada rekod jenayah," katanya hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:41 PM