AZMI Abu Kassim. FOTO Arkib NSTP
AZMI Abu Kassim. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perkongsian maklumat sekatan jalan raya (SJR) atau kehadiran polis di aplikasi Waze boleh mengganggu penguatkuasaan terhadap golongan pemandu ingkar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, meskipun ada pandangan mengatakan perkongsian itu membuatkan pemandu lebih berhati-hati, ia menjadi 'halangan' dalam tindakan terhadap pemandu ingkar.

"Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa

mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Walaupun ia dilihat memberi manfaat kepada pemandu, namun dalam masa yang sama, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program High Porfile Policing Ketua Polis Kuala Lumpur di Wonderland Park, di sini, malam ini.

Sebelum ini tular mengenai penggunaan aplikasi Waze yang menunjukkan Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya memberi kerjasama dengan tidak berkongsi maklumat SJR yang diadakan atau kehadiran polis di dalam aplikasi itu.

Menurutnya, nasihat itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pengguna jalan raya harus sedar bahaya dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan lain-lain lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:26 PM