KELAJUAN perkhidmatan LRT Ampang dikurangkan, sekali gus menyebabkan kelewatan perkhidmatan untuk penumpang.
KELAJUAN perkhidmatan LRT Ampang dikurangkan, sekali gus menyebabkan kelewatan perkhidmatan untuk penumpang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan mengesyorkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagi penggantungan pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api serta-merta susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang pagi semalam.

Menerusi satu kenyataan, Apad memaklumkan, syor berkenaan dikemukakan selaras Peraturan 8 P.U.(A) 367 sehingga punca sebenar gangguan diketahui dan segala aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi pemilik projek.

Apad mengambil maklum insiden gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang semalam atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Menurut Apad, berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat satu kerja pembangunan dijalankan bersebelahan landasan kereta api dan dalam kawasan Rizab Kedua LRT tanpa perundingan dengan agensi itu di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [ P.U. (A) 367].

"Apad memandang serius isu ini dan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti DBKL, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden tersebut," katanya.

Selain itu, pihak Prasarana diminta menyediakan alternatif perkhidmatan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang tinggi terutama pada waktu puncak termasuk membuat pemakluman berterusan kepada orang awam.

Apad akan terus memantau perkembangan gangguan perkhidmatan kereta api tersebut termasuk alternatif perkhidmatan disediakan sehingga keadaan pulih, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 8:14 AM