SITI Aqilah didakwa mencederakan bayi perempuan dalam jagaannya pada September 2022. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SITI Aqilah didakwa mencederakan bayi perempuan dalam jagaannya pada September 2022. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bayi perempuan berusia lapan bulan pada awal September tahun lalu.

Tertuduh, Siti Aqilah Shahimi, 25, membuat pengakuan itu dan meminta supaya dibicarakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Falisha Hanania Muhammad Farhan di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai, di sini, pada 7 September 2022, jam 6.20 petang.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh melalui peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu jumlah itu dikurangkan.

Peguam merayu atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan RM1,800 sebulan serta menanggung keluarga.

Katanya, tertuduh sudah berkahwin namun belum memiliki anak serta menghujahkan RM8,000 terlalu tinggi sedangkan tujuan jaminan hanya memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh bicara atau sebutan ditetapkan mahkamah dan tidak seharusnya bersifat menghukum.

Selepas meneliti rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Mazana menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 14 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 2:29 PM