GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada pengenaan fi kepada anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 di bawah Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.

Mohd Na'im berkata, ini kerana, kajian lanjut penetapan fi itu masih berjalan dan belum ada keputusan berkaitannya dibuat.

"Bagi 2024 dan seterusnya, perkara ini akan ditentukan selepas kajian lanjut dibuat serta perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan diadakan," katanya pada kenyataan hari ini.

Akta 814 mula berkuatkuasa pada 21 Jun tahun lalu yang memperuntukkan fi dan caj boleh dikenakan ke atas anggota BPS.

Ia termasuk yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 yang kena dibayar kepada Ketua Pendaftar.

Sementara itu, Mohd Nai'm berkata, beliau prihatin dengan kebajikan peguam syarie, khususnya dalam era pasca pandemik yang menyaksikan bahawa profesion guaman syarie berkenaan masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya juga mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan isu fi dan caj ini.

"Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa perlunya kajian lanjut dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan membabitkan pengenaan fi dibuat," katanya.

Menurutnya, perkara itu penting agar sebarang keputusan berhubung penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 11:10 AM