Veena Rusli

Bandar Seri Begawan: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini jam 3.15 petang ini, bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Lagu kebangsaan Malaysia, 'Negaraku' dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei, 'Allah Peliharakan Sultan'.

Anwar yang diberi sambutan rasmi, turut memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Delegasi Perdana Menteri turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Anwar dan isteri kemudian berlepas ke hotel penginapan, sebelum dijadual menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei, malam ini.

Esok, Perdana Menteri akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, bagi mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman dan membincangkan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara.

Usai pertemuan itu, Anwar akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pelaburan Brunei (BIA).

ANWAR disambut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah sejurus tiba di Brunei. FOTO Bernama.
ANWAR disambut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah sejurus tiba di Brunei. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 4:53 PM