Bandar Seri Begawan: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei, bermula esok.
Ia adalah lawatan rasmi kedua Perdana Menteri ke luar negara selepas Indonesia, sejak mengangkat sumpah jawatan pada 24 November tahun lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata Anwar dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dijangka tiba di Lapangan Terbang Brunei pada jam 3.25 petang esok, diikuti menghadiri majlis makan makan bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Jalan Kebangsaan di sini.
"Rabu ini, Perdana Menteri dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.
"Pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah semestinya digunakan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan mengukuhkan hubungan dua negara berjiran ke tahap yang terus mendatangkan pelbagai manfaat bagi kedua-dua negara.
"Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan majlis menandatangan perjanjian antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), disusuli Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei," katanya kepada media Malaysia di sini, petang ini.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.
Selain Zambry, delegasi Perdana Menteri turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Zambry berkata, Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan dua hala istimewa, bertunjangkan sejarah kesultanan, kebudayaan, dan susur-galur sejarah yang panjang.
Keakraban itu, jelasnya, diperkukuhkan dengan lawatan khas Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia pada 28 November tahun lalu, sebaik Anwar dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri.
Tahun lalu, Brunei adalah rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenamterbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion).
Sepanjang tahun lalu juga, Malaysia merekodkan peningkatan jumlah eksport ke Brunei sebanyak 33.3 peratus, iaitu RM7.4 bilion (AS$1.68 bilion) manakala jumlah import dari Brunei merekodkan RM5.82 bilion (AS$1.21 bilion), peningkatan 154.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.