MUHAMMAD Asraff  (berdiri, kanan) bersama keluarga di kediaman mereka. FOTO Ahmad Hasbi
MUHAMMAD Asraff (berdiri, kanan) bersama keluarga di kediaman mereka. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Kehadiran Tahun Baru Cina (TBC) setiap tahun digunakan sepenuhnya untuk menyatukan dua keluarga berlainan bangsa sejak 17 tahun lalu.

Menjadi tugas Muhammad Asraff Lee Abdullah, 41, untuk memberi kefahaman kepada keluarga selepas dia memutuskan untuk berkahwin dengan gadis Melayu beragama Islam, Normaeliyana Othman, 38.

Muhammad Asraf tidak pernah mengabaikan keluarganya dan meraikan TBC setiap tahun dengan cara unik.

Menceritakan kembali detik dia berkenalan dengan isterinya, penjawat awam itu berkata, dia dan isterinya bekerja di tempat sama di Kampar, Perak sebelum saling mengenali.

"Selepas berkenalan, saya tidak menunggu lama dan memberanikan diri ke rumahnya dan berjumpa dengan orang tuanya. Ternyata keluarga mentua tidak menghalang hubungan kami.

"Dalam masa kurang setahun kami mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, keluarga saya sukar menerima perkara ini kerana pada masa itu mereka belum faham," katanya ketika ditemui di kediamannya di Seremban 3, di sini.

Bagi memastikan keluarganya menerima perkahwinan mereka, dia menggalas tanggungjawab menunjukkan sikap positif kepada keluarga.

"Ketika berkahwin, kami tinggal di Kampar. Saya berulang-alik ke Ipoh setiap hujung minggu untuk menziarahi keluarga. Saya tidak mahu mereka fikir apabila saya sudah bertukar agama, identiti saya dirampas.

"Malah, saya rebut peluang sambutan TBC dengan membawa isteri dan ibu bapa mentua untuk meraikan bersama perayaan ini. Pada malam TBC, kami akan makan besar di restoran yang menghidangkan masakan Cina halal.

"Ternyata, usaha saya menjadi dan dalam masa kurang setahun, ibu bapa saya mula menerima perkahwinan kami dan kami semakin rapat," kata bapa kepada dua anak itu.

Tambah Muhammad Asraf, ibunya Wu Sow Yoong, 83, kini tinggal bersamanya selepas bapa, Lee Si Kow meninggal dunia, dua tahun lalu.

"Meskipun ibu masih beragama asalnya, kami tidak mempunyai masalah untuk tinggal bersama," katanya.

Sementara itu, Normaeliyana berkata, dia sudah terbiasa sehingga tidak merasakan ibu mentua dan suaminya berbangsa Tionghua.

"Kami bukan hanya menyambut TBC bersama, malah kami memastikan keluarga suami menyambut Aidilfitri di kampung saya bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua keluarga yang berbeza budaya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 1:24 PM