Kuala Lumpur: Yayasan Pahang (YP) merangkul enam anugerah pada Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah Negara (AIGA 2022) kerana menunjukkan contoh tadbir urus organisasi yang telus, diurus dengan baik dan bebas rasuah.

Majlis anugerah julung kali dianjurkan oleh institut integriti Malaysia (IIM) itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi mengiktiraf dan menghargai 70 organisasi, sektor awam dan swasta yang menunjukkan komitmen dan usaha dalam memupuk integriti serta amalan tadbir urus yang baik.

YP Plantations Holdings Sdn Bhd (YPPH), anak syarikat Yayasan Pahang (YP) memenangi Anugerah Emas, manakala enam anak syarikat memenangi anugerah dalam kategori perak dan gangsa pada Rabu lalu.

Pengarah Urusan YPPH dan Ketua Pegawai Eksekutif YP Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, beliau berbesar hati menerima anugerah itu kerana ia memberikan pengiktirafan antarabangsa kepada YP atas tadbir urus dan nilainya dalam menyampaikan perkhidmatan mereka.

Mahmud berkata, dengan penganugerahan itu, yayasan berkenaan bertuah untuk menerima pengesahan yang bertaraf antarabangsa.

"Kami sangat gembira menerima bukan satu tetapi enam anugerah di AIGA 2022.

"Ini adalah langkah ke arah yang betul untuk YP dan anak-anak syarikatnya kerana kami kini tahu di mana standard kami dan akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik tahun ini ," katanya.

"AIGA 2022 adalah anugerah berprestij. Dengan anugerah ini, kita boleh menerima kepercayaan orang ramai untuk membabitkan diri dengan Kumpulan YP," katanya sambil menambah YP juga gembira untuk menetapkan trend untuk orang lain mengamalkan integriti dan melaksanakan tadbir urus yang sistematik.

Mahmud menambah, semua anak syarikat YP yang menerima anugerah itu juga berada dalam Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) ISO 37001:2016 yang diperakui oleh SIRIM QMS International.

"Semua kerja keras dan kesungguhan kami sudah membuahkan hasil.

"Jika anda perasan, proses kemasukan untuk anugerah ini memerlukan anda memenuhi senarai syarat termasuk pensijilan ISO.

"Bukan mudah untuk disenarai pendek dan terpilih untuk anugerah itu," katanya.

Mahmud berkata, Kumpulan YP berharap untuk memenangi kategori platinum pada anugerah tahun depan.

"Seperti yang selalu diperkatakan oleh Pengerusi YP dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kita tidak boleh statik.

"Kita mesti sentiasa progresif dan dinamik jika mahu melakukan yang lebih baik.

"Tahun ini, kita memenangi enam anugerah, satu dalam kategori emas, dua dalam kategori perak dan gangsa jadi sasaran kami seterusnya ialah anugerah platinum," katanya.

Image

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan YP atas komitmen dan sumbangan mereka dalam membawa yayasan ke tahap yang lebih tinggi melalui amalan tadbir urus yang baik dan integriti dalam organisasi masing-masing di bawah kumpulan YP.

"Kami berharap dapat melakukan yang terbaik dalam memastikan pengurusan dan kakitangan YP menjunjung semangat integriti dan ketelusan dalam memastikan tadbir urus yang baik dalam organisasi.

Enam anugerah lain dianugerahkan kepada anak syarikat YP iaitu Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) yang menerima anugerah perak, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menerima anugerah gangsa, manakala YP Mining Sdn Bhd dan YP Land Sdn Bhd masing-masing menerima sijil penyertaan.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata, AIGA 2022 akan menetapkan penanda aras bagi sistem pengurusan dalaman yang tertumpu kepada tadbir urus yang baik bagi membendung gejala rasuah dalam mana-mana organisasi.

"Anugerah anjuran IIM ini adalah selaras dengan seruan dan usaha Kerajaan Perpaduan baharu untuk memartabatkan integriti dan menghapuskan rasuah di semua peringkat, baik di sektor swasta mahupun awam.

"Kami berharap dapat menjadikan ini sebagai acara tahunan," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 4:40 PM