Seorang kanak-kanak menunjukkan betapa banyak lalat yang menyerang rumahnya. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Seorang kanak-kanak menunjukkan betapa banyak lalat yang menyerang rumahnya. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Sitiawan: Setahun lamanya penduduk Residensi PR1MA Sitiawan menahan derita kerana diserang jutaan lalat setiap hari.

Ia dikatakan berpunca daripada pengurusan beberapa ladang ayam berhampiran perumahan baru itu yang menggunakan kaedah lama iaitu secara terbuka.

Menurut wakil penduduk perumahan berkenaan, Mohamad Azam Abdul Rani, 48, ramai yang berasa tertipu kerana pihak pemaju tidak memaklumkan hal itu sebelum pembelian dibuat.

"Hanya ketika hari mengambil kunci, pemaju beritahu ada masalah lalat. Sejak 16 Mac tahun lalu, terdapat 1,260 unit rumah dan separuh daripadanya sudah dihuni. Ditambah lagi dengan 10,000 unit rumah di Residensi Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) yang terletak di sebelah PR1MA ini.

"Kerap kami adukan pada pihak pengurusan perumahan. Namun, masih belum ada lagi tindakan daripada mereka.

"Usaha yang kami mampu buat setakat ini cumalah gunakan gam lalat dan penyembur racun, tapi ia pastinya akan beri kesan kesihatan pada kami dalam jangka masa panjang," katanya.

Tambah Mohamad Azam, situasi tersebut turut mengundang persepsi negatif masyarakat luar terhadap mereka.

"Baru-baru ini saya melangsungkan majlis sambut menantu, belum majlis bermula lagi lalat mengerumuni hidangan. Bila orang luar datang, mereka akan anggap kami kotor dan tidak jaga kebersihan," katanya.

Seorang penduduk PR1MA Sitiawan, Rozita Murad, 61, berkata dia dan cucunya baru sahaja ditahan hospital 4 Januari lalu dan disahkan keracunan makanan.

"Apa lagi patut kami buat. Belum pun makan, lalat sudah hinggap pada tudung saji.

"Waktu solat, lalat masuk dalam kain telekung dan mengganggu.

"Tidur pun tak lena kerana ia akan masuk ke celah-celah rambut, telinga dan hinggap di muka kami," kata pesara guru itu.

Menurut Masitah Zulkafli, 38, dirinya berasa runsing kerana kehadiran lalat yang terlalu banyak dalam rumahnya.

"Atas lantai penuh dengan mereka saja. Walaupun saya sapu, tak sampai seminit akan datang lagi hinggap di situ.

"Saya terpaksa cuci jeriji besi di pintu rumah beberapa kali sehari kerana kesan tompokan yang ditinggalkan lalat beri mudarat kepada keluarga saya," kata ibu kepada lima orang anak itu.

Seorang lagi penduduk PR1MA Sitiawan yang tidak mahu dikenali berkata, mereka tidak mahu mempersalahkan sesiapa, namun berharap pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dapat mengambil tindakan sewajarnya.

"Kami para penduduk ingin duduk berbincang dengan MPM, pihak pengurusan PR1MA, pihak veterinar dan pengusaha ladang penternakan ayam supaya langkah penyelesaian dapat diambil.

"Kami juga alu-alukan kunjungan kerajaan negeri supaya tindakan dapat diambil dalam masa terdekat dan bukan lagi kajian.

"Kami bimbang jika hal ini berlarutan, penyakit bawaan lalat seperti kolera, demam kepialu (tifoid) serta jangkitan cacing membarah pada penduduk," katanya.

Terdahulu, media pernah melaporkan beberapa kawasan lain di daerah Manjung seperti Lumut, Pengkalan Baharu, Beruas dan Lekir menghadapi masalah sama sejak 30 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 2:10 PM