HUSAIN (kiri) dan Rafiq bersama trofi yang dimenangi pada Anugerah Putra Brand 2022. FOTO Saifulizan Tamadi.
HUSAIN (kiri) dan Rafiq bersama trofi yang dimenangi pada Anugerah Putra Brand 2022. FOTO Saifulizan Tamadi.
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Harian Metro dan saluran televisyen, TV3 meraih gangsa bagi kategori Rangkaian Media pada Anugerah Putra Brand Awards 2022, di sini, malam ini.

Anugerah diterima Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit manakala Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd Rafiq Razali mewakili TV3.

Anugerah Putra Brand Awards 2022 diberikan kepada jenama kegemaran rakyat Malaysia sepanjang tahun lalu.

Husain berkata, anugerah diterima terbukti menjadi tanda Harian Metro digemari ramai.

"Tentunya kami gembira dan rasa bertuah kerana dengan anugerah ini Harian Metro diiktiraf seluruh rakyat Malaysia... 'people choice' (pilihan rakyat).

"Jadi kita harapkan sokongan orang ramai akan berterusan sekali gus menaikkan lagi nama Harian Metro di mata rakyat," katanya.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.

Anugerah Putra Brand Awards menyambut edisi ke-13 dengan memberi 151 anugerah termasuk empat anugerah khas dalam 24 kategori kepada jenama kegemaran rakyat Malaysia.

Pengerusi Anugerah Putra Brand Awards, Datuk Johny Mun berkata, anugerah berkenaan adalah bagi menggalakkan syarikat melabur dalam jenama sendiri sekali gus mengekalkan mereka di dalam minda pengguna, di samping memenuhi kehendak industri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 12:20 AM