Khairulmizan Yahya


Kuantan: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyenaraikan 18 portfolio bagi 'membayangi' setiap portfolio yang dipegang oleh 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, portfolio tumpuan itu bagi memantau kerja yang dilaksanakan barisan Exco kerajaan negeri.

"Langkah ini sebagai tanda PN Pahang serius untuk menjadi pembangkang yang membina dan bukan sekadar membangkang tindakan kerajaan negeri.

"Langkah ini juga memberikan peranan yang lebih khusus untuk Adun PN dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen PN Pahang di Pejabat Sekretariat PN Pahang, di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut memaklumkan PN menubuhkan sekretariat bagi meningkatkan prestasi Adun PN dalam menjalankan amanah, tugas dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, sekretariat itu diketuai Adun Beserah, Andansura Rabu bersama setiausaha kerja, ketua penyelidik dan beberapa anggota penyelidikan daripada pelbagai bidang berkaitan.

Menurutnya, selain itu, jawatan penyelaras DUN dan Parlimen juga akan wujudkan.

"Bagi kawasan yang (PN) belum menang sama ada parlimen atau DUN, kami akan melantik penyelaras dan sebahagian daripada mereka mungkin calon yang tidak menang serta tokoh baharu yang ingin kami ketengahkan.

"Perancangan ini dibuat bagi memastikan semua urusan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, di Pahang peranan dan kedudukan ketua pembangkang belum jelas tidak seperti yang berlaku di Dewan Rakyat.

"Di Dewan Rakyat sudah tercatat Ketua Pembangkang mempunyai peranan yang jelas dan ada keistimewaan tertentu namun di Pahang belum ada seperti itu.

"Itu antara perkara yang akan kami bincangkan dengan Yang Dipertua DUN Pahang sebelum dewan bersidang pada Mac tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:23 PM
SAIFUDDIN bersama Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media PN Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
SAIFUDDIN bersama Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media PN Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang