GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari yang tetap diteruskan mulai 1 Januari tahun depan mendapat pelbagai rekasi bercampur baur.

Pekerja swasta, Amirrul Rabbani Rashid, 29, berkata, pindaan akta itu mempunyai kebaikan untuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan sebagai seorang ibu.

Bagaimanapun katanya, dia berpandangan masalah akan timbul terhadap syarikat yang mempunyai jumlah pekerja kecil, malah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu menyaksikan majikan di kebanyakan sektor menghadapi masalah mendapatkan pekerja baharu.

"Sekiranya ada pekerja bercuti dalam tempoh masa lama, sudah pasti bebanan kerja diberikan kepada pekerja lain terutama golongan bujang dan ini dikhuatiri boleh menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan pekerja.

"Mungkin selepas ini pekerja bujang atau lelaki lebih menjadi pilihan majikan dan golongan wanita terutama mereka yang sudah berkahwin kurang mendapat peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, jurutera, Nur Ainni Ramli, 34, berpandangan penguatkuasaan akta itu wajar dilaksanakan tahun depan kerana ia memberi peluang kepada wanita yang baru melahirkan anak kembali sihat sepenuhnya terutama daripada segi emosi.

Katanya, penambahan hari cuti bersalin itu tidak dinafikan akan menimbulkan konflik dalam persekitaraan pekerjaan, namun syarikat dan pihak kerajaan boleh mencari solusi menang-menang untuk semua pihak.

"Sebagai wanita berkerjaya dan ibu sudah pasti saya menyambut baik perkara itu yang dapat membantu kami kembali pulih selepas melahirkan tetapi kita juga perlu memastikan memberi prestasi terbaik selepas kembali berkerja nanti.

"Mungkin ini akan mengganggu pekerja lain tetapi pada pandangan saya ia boleh diatur seperti orang yang menanggung kerja kakitangan yang bercuti bersalin boleh mengambil cuti selepas wanita itu kembali bekerja," katanya.

Bagi penuntut, Fathinah Uzma Shamsulazhar, 21, dia tidak memandang penguatkuasaan pindaan akta itu sebagai 'penutup' ruang dia mendapat pekerjaan selepas tamat belajar nanti biarpun ada persepsi lebih memilih pekerja lelaki berbanding perempuan.

"Masih ada pekerja perempuan yang menjadi pilihan majikan melihat kepada penilaian cara kerja. Malah, setiap syarikat pasti memerlukan pekerja wanita, cuma yang saya bimbang untuk bersaing dengan sesama wanita saja," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Grand Riverview Hotel di Kota Bharu, Kelantan, Gan Yeong Shuoh berkata, biarpun kurang bersetuju tetapi dia tetap akur dengan penguatkuasaan akta terbabit, namun berharap kerajaan dapat melihat subsidi untuk membantu majikan.

Katanya, penambahan hari itu memberi kesan besar terutama dalam aspek pemilihan pekerja dan kos operasi.

"Contohnya hotel beroperasi 24 jam dan sekarang bukan seperti dulu, sudah ada minimun upah jadi kos akan menjadi tinggi. Kita kena mencari orang lain dan kalau pekerja itu sudah kembali bekerja akan menjadi lebihan kakitangan pula.

"Mungkin boleh melihat inisiatif subsidi upah untuk majikan apabila ada pekerja cuti bersalin jadi kita boleh menggunakan subsidi itu untuk mencari pekerja sambilan sehingga bertahan (pekerja yang cuti kembali berkerja)," katanya.

Terdahulu media melaporkan, penguatkuasaan Pindaan Akta Kerja 1955 yang sebelum ini ditangguhkan, akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu, namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 2:56 PM