Hidayatidayu Razali dan Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan petang ini.

Seramai 29 orang daripada lapan keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini, berbanding 37 mangsa daripada 10 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu setakat jam 4 petang, lapan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.

Paras semua sungai utama di Terengganu juga menunjukkan bacaan normal, berdasarkan maklumat di portal Info Banjir JPS.

Di Kelantan jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 1,881 orang berbanding 2,006 pada 2 petang, yang membabitkan 593 keluarga dari kampung sekitar Pasir Mas.

Portal Info Bencana JKM menunjukkan semua mangsa itu ditempatkan di tujuh PPS, iaitu SK Tok Deh (712 orang); SK Gual Periok (516 orang), SK Kubang Kual (256 orang) dan PPS Putat Tujoh dengan 142 orang.

Terdapat 164 mangsa di SK Sri Kiambang, Masjid Mukim Padang Licin (57 orang) dan SK Kedai Tanjong (34 orang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:26 PM