Amirudin Shari.
Amirudin Shari.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Hulu Selangor: Kerajaan negeri Selangor melalui penyelarasan Unit Pengurusan Bencana negeri dengan agensi berkaitan sudah dikerah turun ke lokasi kejadian runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, dekat sini, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata, beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke lokasi kejadian malam ini.

"Pagi tadi, negara dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di Father's Organic Farm, sebuah tapak perkhemahan yang bertempat di Kampung Kuantan, Batang Kali, Hulu Selangor.

"Sehingga jam 12 tengah hari, didapati bahawa 94 mangsa berada di kawasan itu, daripada 60 mangsa membabitkan 46 pengunjung serta 14 pekerja berjaya diselamatkan.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang meninggal dunia akibat tragedi ini iaitu tiga kanak-kanak, tujuh wanita dan dua lelaki," katanya.

Menurutnya, 22 mangsa belum dikesan dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat diteruskan.

"Operasi mencari dan menyelamat membabitkan 446 anggota yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor serta dibantu dari segi peralatan dan anggota daripada semua agensi kerajaan.

"Mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 3:55 PM