Tabung Haji
Tabung Haji
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tawaran serta butiran maklumat menunaikan haji tahun depan hanya akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) di platform rasmi agensi itu.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, orang ramai diingatkan tidak terpedaya dengan berita yang tular di media sosial mengenai tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan, syarat kelayakan bakal jemaah serta kriteria pemeriksaan kesihatan.

Katanya, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara terbabit sedangkan ia tidak sahih.

"Berita tidak sahih itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji daripada TH yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan untuk musim haji diputuskan kerajaan Arab Saudi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, TH akan memaklumkan tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah terpilih bagi musim haji 1444H/2023M menerusi platform komunikasi rasmi TH kelak.

"Selepas tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang dikeluarkan," katanya.

Pada masa ini, TH sedang menganjurkan kursus asas haji selama 13 minggu bermula 25 November hingga 17 Februari 2023 sebagai persediaan melengkapkan bakal jemaah dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di Tanah Suci.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:54 PM