Oleh Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluluskan pembelian enam unit pam bergerak dianggarkan bernilai RM12 juta yang mampu mengatasi masalah banjir termenung di negeri ini.

Keutamaan penggunaan pam berkenaan membabitkan kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang yang menjadi 'hot spot' banjir di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan perlu melihat kepada penyelesaian secara jangka panjang dan menjadikan bencana yang berlaku setiap tahun itu bukan lagi bersifat bermusim atau mengambil masa lama untuk pulih.

"Kita mendapati bahawa program tebatan banjir mesti dibuat mulai sekarang dan untuk Kelantan, ia memerlukan satu jumlah yang besar.

"'Master plan' untuk Kelantan setakat ini RM2.1 bilion (penyelesaian keseluruhan masalah banjir di sepanjang Sungai Golok) dan penyelesaian jangka pendek ialah pam bergerak, maka saya luluskan serta merta pembelian itu.

"Kelantan termasuk dalam 'flood hole area', maka fokus mesti diberikan dan mengikut ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hujan lebat dijangka berlaku sehingga 17 Disember ini yang memerlukan kesiapsiagaan dibuat," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas di sini, bagi mendengar taklimat persiapan serta situasi semasa banjir di negeri ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan Kamal Mustapha dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Zaini Hussin.

Ahmad Zahid berkata, dalam menyelesaikan masalah berkaitan rakyat, pemimpin perlu mengetepikan perbezaan politik dan dalam hal itu, beliau mengaku 'buta warna'.

"Kita harus ketepikan perbezaan politik apatah lagi untuk 'claim mileage', saya buta warna dalam perkara ini.

"Sepatutnya saya pergi ke negeri yang bersama (kerajaan) Persekutuan tapi sebab saya buta warna, saya bertemu MB (Ahmad) dan secara serius saya fikir bahawa apa yang akan berlaku kita bukan ingin mendahului tapi bersiap siaga.

"Pendekatan kali ini juga saya inginkan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO secara formal dan Kelab Putera 1Malaysia yang dinaungi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan mewakili peringkat nasional akan turun ke negeri dan daerah yang terjejas banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:42 PM