E Muvin bersama bapa, K Eashwar (kiri) bergambar kenangan bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin. FOTO Mary Victoria Dass.
E Muvin bersama bapa, K Eashwar (kiri) bergambar kenangan bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: "Tidak sangka tempoh cuti sekolah ini menjadi cuti sakit bagi anak sulung yang patah kaki kiri selepas terlanggar pintu dan terjatuh di rumah bulan lalu," kata bapa tunggal, K Eashwar, 36.

Katanya, kejadian berlaku ketika anak sulungnya, Muvin berusia tujuh tahun cuba mengelak daripada menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 ketika demam.

Penjual makanan itu berkata, dia tidak sangka kaki anaknya disahkan patah kaki ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Doktor menasihati Muvin untuk menggunakan tongkat ketika bergerak kerana kecederaan tulangnya memakan masa untuk sembuh, mujur dia menerima sumbangan tongkat daripada pengurusan sekolah bagi memudahkan pergerakannya.

"Sebagai bapa tunggal memang mencabar bagi saya untuk menjaga anak ketika sakit dan pada masa sama saya memiliki seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun, syukur adik beradik yang tinggal serumah turut membantu.

"Pendapatan saya adalah kira-kira RM1,800 sebulan, memang sukar bagi saya untuk menyediakan kemudahan kepada anak dan sehingga kini saya juga tidak pernah menerima bantuan daripada agensi berkaitan.

"Mungkin rezeki anak kerana hampir setiap tahun ada saja pihak yang menyumbangkan kelengkapan sekolah demi meringankan beban keluarga kami," katanya yang sudah berpisah dengan pasangannya dua tahun lalu.

Muvin yang juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Masai merupakan antara 120 penerima sumbangan pakaian dan kelengkapan sekolah serta wang tunai daripada Yayasan Sayang Mutiara (YSM) yang diberikan kepada keluarga B40.

"Saya gembira menerima pakaian dan kelengkapan sekolah yang baharu serta akan menggunakannya pada tahun depan.

"Selalunya bapa akan membawa saya membeli beg sekolah dan kelengkapan lain, kali ini saya gembira kerana menerima sumbangan bersama rakan-rakan sekolah dan bapa turut menemani saya," katanya di program Back To School di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini hari ini.

Manakala, seorang murid, Mohd Suhaimi Najmi, 11, dari Taman Cendana di sini turut berterima kasih kepada YSM kerana dapat meringankan beban keluarganya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, ia kerana bapanya hanya bekerja kilang manakala ibunya pula menjual burger.

"Saya seronok dapat beg baru pada kali ini," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana.

Sementara itu, Pegawai Operasi YSM, Mohd Awie Sidek berkata, program Back To School diteruskan tahun ini selepas kira-kira dua tahun tidak dapat menganjurkannya akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program berkenaan di daerah lain pada masa akan datang dan membabitkan semua kaum terutama murid yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 4:17 PM