ONN Hafiz ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor> FOTO Ihsan MEDKOM
ONN Hafiz ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor> FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor bersetuju menaikkan elaun bulanan sebanyak RM300 kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertimbangan itu bagi meningkatkan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat negeri ini.

Katanya, inisiatif itu juga bagi menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi ini yang berkhidmat siang dan malam bagi membantu masyarakat setempat.

"Kerajaan Johor bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

"Di samping itu, kerajaan Johor juga berharap supaya kerajaan Persekutuan akan turut menyambut baik inisiatif murni berkenaan, seterusnya turut menambah sekurang-kurangnya RM300 lagi bagi menjadikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Pada Februari 2019, bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung negeri ini apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan.

Osman dilaporkan berkata, pertambahan itu menjadikan kadar elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan itu.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya yakin dan percaya rakan-rakan ADUN memahami dan bersetuju untuk kita memberikan keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu buat masa ini.

"InsyaAllah, setelah keadaan ekonomi semakin pulih dan hasil negeri juga meningkat, kerajaan Negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 3:33 PM