Rosli Ilham

Dungun: Dua lelaki Myanmar ditahan selepas dipercayai menggunakan dokumen pembaharuan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan dalam operasi khas yang diadakan di daerah ini.

Menurutnya, ketika diperiksa kedua-dua suspek menunjukkan kad pelarian UNHCR yang sudah tamat tempoh dan pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pembaharuan kad pelarian itu disyaki palsu.

"Kedua-dua lelaki itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Menurutnya, operasi khas yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen itu bagi mengesan warga asing yang melakukan kesalahan memandu kereta dan menunggang motosikal.

"Ops saman warga asing yang kita lakukan ini membabitkan seramai 23 anggota, dua pegawai polis, dua pegawai Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

WARGA asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan lalu-lintas dibawa ke Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut. FOTO Rosli Ilham
WARGA asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan lalu-lintas dibawa ke Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut. FOTO Rosli Ilham

"Operasi ini juga dibuat hasil aduan orang ramai berhubung kehadiran warga asing yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen serta melanggar peraturan lalu-lintas," katanya.

Baharudin berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita dua kereta dan sembilan motosikal milik warga asing yang menggunakan nama penduduk tempatan untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak 21 saman turut dikeluarkan kepada mereka atas pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan.

"Kita menasihati penduduk tempatan supaya tidak menjual kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka kepada warga asing demi mengaut keuntungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 12:54 PM