Tiga pemenang program RISDA Bizz Challenge, Muhammad Syazwan (tengah), tempat kedua Noraini, (kiri) dan Zalmiah di Pusat Latihan RISDA Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Tiga pemenang program RISDA Bizz Challenge, Muhammad Syazwan (tengah), tempat kedua Noraini, (kiri) dan Zalmiah di Pusat Latihan RISDA Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM375, seorang guru agama dari Keningau, Sabah, kini mampu memiliki perniagaan selain menggaji lebih 60 pekerja.

Usahawan terbabit, Muhammad Syazwan Zulkiflee, yang sebelum ini mengajar Pendidikan Agama Islam di salah sebuah sekolah menengah di Keningau, Sabah, mengambil keputusan untuk berhenti selepas lapan tahun berkhidmat.

"Saya mula memberi tumpuan terhadap perniagaan membuat baju korporat yang dimulakan sejak lima tahun lalu.

"Keputusan untuk berhenti adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang perniagaan dan juga untuk mengembangkan perniagaan ini," ujar bapa kepada empat orang anak itu.

Menurutnya, selain minatnya dalam bidang perniagaan, dia juga mahu membantu masyarakat kampung di Keningau yang dahagakan pekerjaan.

"Kampung saya agak jauh di pedalaman dan kerana itu saya menanam azam membantu mereka mencari sumber pendapatan dengan bekerja di syarikat saya tanpa perlu berhijrah," katanya.

Syazwan berkata, dia percaya perniagaan ini mampu membantu orang kampungnya keluar daripada garis kemiskinan.

"Keyakinan mula timbul untuk membesarkan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan bukan sahaja untuk syarikat tetapi ekonomi penduduk luar bandar.

"RISDA adalah satu-satunya agensi yang menawarkan peluang apabila saya termasuk 'bantuan' ilmu usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan saya," katanya.

Tambahnya, banyak yang dia dapat belajar daripada RISDA tentang selok belok perniagaan dan peluang bagi memajukan perniagaan.

"Ini adalah penyertaan pertama saya dalam program keusahawanan dianjurkan RISDA bagi mendidik usahawan. Saya amat berterima kasih dengan peluang dan ruang diberikan," katanya selepas dinobatkan sebagai johan program niaga RISDA Bizz Challenge 2022 yang diadakan di Pusat Latihan RISDA Port Dickson di sini, semalam.

Tempat kedua pula dimenangi Noraini Ahmad, 36, dari Tanah Merah, Kelantan yang membentangkan perniagaan membuat Pizza dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Pemenang tempat ketiga pula, usahawan dariZalmiah Abd Ghafar, 39, dari Maran, Pahang juga membuat Pizza dan menerima RM3,000.

Semua pemenang menerima hadiah daripada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Ali Sabuddin Abd Samad.

Seramai 25 peserta dari seluruh negara terpilih di peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:18 PM