ZAKARIA Awang Noh berkongsi makanan jualannya kepada mereka yang memerlukan.
ZAKARIA Awang Noh berkongsi makanan jualannya kepada mereka yang memerlukan.
Noor Hidayah Tanzizi


Ampang: Berpegang kepada prinsip, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, mendorong pembantu gerai makan, Zakaria Awang Noh berkongsi makanan dengan pelanggannya setiap hari.

Zakaria, 31, yang memasak sendiri juadah tengah hari di gerai milik abangnya di Pandan Perdana, di sini berkongsi makanan kepada mereka yang memerlukan terutama warga emas dan kanak-kanak.

Menurutnya, dia semakin aktif melakukan aktiviti itu sejak Jun lalu selepas bapa, Awang Noh Sulong meninggal dunia, sambil berniat pahala sedekah buat insan kesayangan itu.

"Sebelum itu saya sudah kehilangan ibu (Rokiah Sulaiman) pada 2020 dan abang sulung, Husin pada 2016 yang mendorong saya melakukan aktiviti ini.

"Selain amalan lain, saya fikir bersedekah juga dapat mengalirkan pahala untuk tiga ahli keluarga yang sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zakaria berkata, sepanjang 10 tahun bekerja di gerai abangnya, dia kerap melihat pelanggan terutama pekerja di kawasan berhampiran yang terpaksa berjimat cermat.

"Ia mendorong saya menggerakkan usaha ini yang akhirnya mendapat sokongan rakan yang mahu sama-sama menyumbang dan berkongsi rezeki.

"Kami berkongsi makanan dengan mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Sekarang pun ramai yang berbuat demikian termasuk mereka bukan Islam selepas melihat video di TikTok saya," katanya.

Menurutnya, setiap hari dia memasak antara 25 hingga 30 jenis lauk-pauk dan akan memasak lebih untuk diberikan kepada pelanggannya.

"Biasa mereka ini tidak datang setiap hari, kadang-kadang dua atau tiga hari sekali datang ambil makanan dan biasanya mereka adalah orang yang sama juga.

"Bagusnya mereka walaupun disuruh pilih sendiri lauk, mereka hanya mengambil satu lauk dan sayur saja dalam kuantiti biasa," katanya.

Mengenai video dikongsi itu, Zakaria berkata, dia hanya mahu menceritakan pengalamannya yang boleh memanfaatkan orang lain atau mendorong orang lain berbuat kebaikan.

Katanya, tiada niat untuknya riak dengan sedekah itu, malah bersyukur apabila ramai warganet yang memberi komen positif dan melihatnya sebagai suatu usaha kebaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 9:54 PM